Tetamu NK

Friday 6 September 2013

PM Yang Sedang Dimarahi Dan Dijauhi

Perjalanan politik negara seakan sedikit bengkang bengkok. Laksana kereta yang menyusuri jalan yang basah kala hujan yang lebat. Sana sini kedengaran banyak pihak yang mempersoalkan tindakan Datuk Sri Najib dalam membuat keputusan sejak kebelakangan ini. Kenaikan harga minyak. Terlalu memberi muka kepada bangsa lain selain bangsa-bangsa yang mengekalkan pemerintahan beliau di negara ini dan pelbagai lagi.

Saya lebih cenderung untuk melihat laluan di hadapan kita khususnya Datuk Sri Najib sendiri bahawa tahun-tahun yang mendatang adalah lebih sukar dan menjanjikan lebih banyak cabaran yang cukup berseni.

Keadaan masyarakat kita pada hari ini bukan lagi seperti 50 tahun yang lampau. Juga bukan seperti 30 tahun yang lampau. Masyarakat kita yang berbilang kaum, dan sudah tentu bertukar ganti generasinya semakin berubah dari segi keperluan, pengetahuan, sosial serta ekonominya. 

Malaysia bukan lagi sebuah negara miskin tetapi sedang berkembang pesat dan tahun 2020 adalah tahun di mana Malaysia hari ini cuba untuk membawa rakyatnya ke arah menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun itu. 

Kita masih memegang misi yang sama tetapi lupakah kita bahawa dalam mengejar misi itu, walau sedepa yang kita tinggalkan akan menganggu struktur perancangan. Dan jika kita tinggalkan bermakna kita gagal membentuk satu kejayaan yang kita semua ini setuju untuk mengangkat dan meneruskannya dan jika kita berhadapan dengan kepayahan akibat lari dari perancangan, cabaran di hapadan perlu kita fikir dan berusaha untuk mengatasinya dan bawa kembali kepada perancangan dengan cara yang berbeza tetapi bermatlamat yang sama.

PRU13 telah membentangkan satu cabaran yang bukannya kecil kepada Datuk Sri Najib. Saya rasa bukan hanya beliau seorang tetapi kita sebagai rakyat Malaysia. 

Perpaduan tetap ada tetapi sesuatu yang jelas wujud ialah 2 kaum utama semakin terjarak. Melayu dan Cina. 

Kita mungkin tidak berasa apa-apa tetapi bukan kepada pemerintah. Dalam satu keadaan di mana satu kaum memberikan sokongan yang besar dan padu dan satu kaum lagi menyisihkan sedangkan sejarah negara menunjukkan tanpa ada sokongan satu kaum ini satu ketika dulu, Malaysia sudah tentu bukan dalam tangan BN.

Formula-formula penting harus digarap. Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Selagi nyawa dikandung badan, Islam itu dipertahankan di bumi ini. Kesultanan Melayu juga tetap dijaga kerana ianya lambang bangsa. Dan dalam masa yang sama kaum Cina perlu ditarik kembali sokongan mereka kerana suka atau tidak mereka juga bergelar penduduk Malaysia. Mereka juga adalah rakyat negara ini. Tetapi mereka juga ingin menegakkan apa yang mereka inginkan. 

Ekonomi tidak boleh dijadikan senjata untuk memegang kuasa. Kuasa tidak hadir dengan faktor ekonomi. Bayangkan jika sutu hari Malaysia dilanda gempa bumi. Beratus ribu terkorban. Banyak bangunan musnah binasa. Rakyat berbilang bangsa kehilangan tempat tinggal. Dan adakah duit boleh membeli kerjasama apabila kita kesusahan? Misalnya dalam kejiranan kita semuanya sudah binasa. Kita tiada makanan. Kita tiada perubatan. Dan kala itu kita tawarkan seseorang untuk dapatkan makanan di mulutnya. Dia juga kelaparan. Adakah nilai wang masih berharga?

Yang ada pada waktu itu adalah budi sesama manusia. Berbilang bangsa, berlainan agama. Tetapi kita lupa, kita adalah manusia. Takkan berlaku duit diterima tetapi yang akan berlaku, makanan dikongsi dengan wang itu diletak ke tepi.

Tetapi adakah kita dapat menghayati situasi di atas pada masa ini? Sangat sukar bukan?

Kesedaran bukan mudah untuk dikembangkan. Diputik ia melalui debunga pemikiran. Apa jua yang berlaku, ianya datang dari Allah. 

Kita semakin hilang nilai untuk hormat menghormati antara satu sama lain. Dalam satu situasi yang berlainan, Melayu yang dikhianati masih berasa. Lukanya dalam kali ini. Lambat nak baik. Apabila yang mengkhianati masih tetap dibela, maka yang dikhianati menjerit membantah. Marah yang hadir ini bukan mudah untuk dihilangkan. 

Perlu ada cara. Jika yang menyisih tidak sedar dan jika yang marah masih ingin marah. Dan dua keadaan inilah yang Datuk Sri Najib fikirkan. 

Kita melihat gunung yang tinggi. Kita berikrar untuk membina bangunan yang gah di situ. Kita berjaya melakarkan jalan, lurah, hutan belantara, sungai dan jarak yang kita perlu tempuhi untuk ke gunung tersebut. Tetapi kita bukan hanya membawa peralatan yang sesuai untuk tanah rata. Kita juga bukan hanya membawa roda. Kita dikurniakan akal. Kita dkurniakan nafas dan tenaga. Kita dikurniakan pedoman dan tunjuk ajar dari Rasulullah. Kita ada panduan iaitu Al-Quran. 

Kita perlu faham keadaan di masa ini. Jika kita turut sama amarah. Tiada yang akan selesai. Jika kita tidak membantu untuk sedarkan mereka. Kita mungkin untung pada hari ini. Tetapi adakah kita perlu dari lari dari masalah ini? 

Nilai bangsa kita takkan jatuh jika kita berusaha. Malah akan lebih dimuliakan. Datuk Sri Najib mungkin tidak mampu untuk laungkan betapa dia memerlukan rakyat untuk faham. Tetapi kita sendiri sangat maklum. Bukan mudah untuk membawa negara di mana 60% ingin bersama dan 40% membawa diri. 

Jangan hilangkan nilai yang semakin hilang.

No comments:

Post a Comment